Logo Rasmi

Logo Rasmi

Masjid Kampung Tg Rambai

Masjid Kampung Tg Rambai

Tuesday, January 26, 2010

Info 2009 Sinar harian.

Tanjung Rambai popular sukan

GERIK – Persatuan Belia Tanjung Rambai bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Rambai, Pergerakan Wanita UMNO Zon Kenayat, Amanah Ikhtiar dan Universiti Teknologi Mara Sri Iskandar, berusaha mempopularkan sukan tradisional di kalangan masyarakat setempat dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dalam program Hari Terbuka Tanjung Rambai, semalam, dua pertandingan atau permainan tradisional diadakan dan disertai wanita sekitar zon Kenayat.

Penyelaras Program, Omar Fadhilah Mohamad berkata, penganjuran pertandingan itu diurus Puteri UMNO Zon Kenayat dan sesuatu yang baik apabila dapat kembali mempopularkan permainan tradisi di kalangan belia.

Menurutnya, usaha itu perlu diberi galakan kerana memberi kesedaran kepada generasi moden tentang wujudnya permainan dan sukan tradisional di tanah bertuah ini.

“Usaha seperti ini sememangnya merupakan sesuatu yang baik dan perlu diperkembangkan lagi kerana ia merupakan permainan atau sukan tradisi rumpun bangsa Melayu.

“Sukan tradisional seperti ini perlu terus dipelihara dan terus dimainkan agar ia dapat terus diwarisi generasi-generasi mendatang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Zon Kenayat, Salina Dahalan berkata, penganjuran pertandingan permainan tradisional ini merupakan antara usaha yang dilakukan bagi menghidupkan kembali permainan serta sukan tradisional di kalangan masyarakat moden.

Menurutnya, penganjuran untuk peringkat awal ini adalah tertumpu kepada permainan sukan tradisional dalaman iaitu congkak dan batu seremban, bersesuaian untuk disertai golongan wanita.

“Jika dilihat sekarang ini, permainan-permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban sudah semakin jarang dimainkan dan dipertandingkan oleh ahli-ahli masyarakat termasuk dari kalangan rumpun keturunan bangsa Melayu sendiri.

“Adalah menyedihkan jika permainan dan sukan tradisional ini terus ditinggal dan tidak dikomersialkan hingga akhirnya ia akan bakal luput ditelan arus peredaran dan perkembangan zaman,” katanya ketika di temui di Dewan Orang Ramai, Kampung Tanjung Rambai, semalam.

Pertandingan untuk kedua-dua permainan tradisional itu telah berlangsung sekitar satu jam dan telah melibatkan tujuh peserta mengikut cawangan masing-masing untuk kedua-dua jenis sukan berkenaan.

Untuk pertandingan congkak, yang diadakan dalam tiga pusingan, gelaran johan telah diungguli Fifi Fatin Natasha Syarpuddin dari Tanjung Rambai, sementara tempat ke dua dirangkul Sakinah Jaafar, dari Kenayat dan tempat ketiga jatuh kepada Norilyana Farhana Ariffin dari Tawai.

Bagi pertandingan batu seremban yang diadakan secara kalah mati, johan dirangkul Nor Idawati Nordin dari Kenayat, diikuti Fifi Fatin Natasha Syarpuddin, dan tempat ketiga dirangkul oleh Nor Ilyana Farhana Ariffin dari Tawai.

No comments:

Post a Comment